APA yang pasti, Kuala Lumpur makin hampir menjadi kota pelacuran nombor satu dunia tidak lama lagi.
Fakta menceritakannya.
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendedahkan, Kuala Lumpur kini berada di ranking kelapan kota pelacuran dunia dengan nisbah 52 orang pelacur bagi setiap 10,000 penduduk.
Secara nisbah juga, Kuala Lumpur di ranking lebih tinggi berbanding Thailand yang kini berada di tangga ke-10 dengan nisbah 45 orang pelacur setiap 10,000 penduduk.
“Kami mengingatkan pihak berkuasa supaya Kuala Lumpur tidak menjadi bandar bandar raya maksiat,” kata Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Mapim melahirkan kekesalan dengan menyifatkan, cukup dengan ribuan bilangan pelacur dari luar negara yang kini membanjiri KL dan bandar-bandar utama dalam negara.
Gesaan Mapim lahir ketika umat Islam melahirkan kebimbangan sekiranya pihak berkuasa Kuala Lumpur, membuka ruang menambah lesen rumah urut sedia ada.
Bukan rahsia, lesen rumah urut disalah guna dengan berfunsgi sebagai tempat pelacuran. Malah, sudah menjadi rahsia terbuka mengenai operasi kumpulan jenayah terancang di sebalik kegiatan rumah urut akan menambahkan masalah yang sedia ada.
Industri pelacuran di Malaysia kini bernilai lebih RM3.6 bilion. Satu angka yang memalukan bagi sebuah negara majoriti Islam dan meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan.
Melihat kepada operasi pusat urut dan pusat hiburan yang bercambah di sekitar KL, bermakna KL berpotensi menjadi pusat pelacuran Asia, jika ruang dan peluang dibuka untuk beroperasi secara berlesen.
“Kami membantah keras Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka semula permohonan lesen baharu rumah urut sekitar ibu kota,” kata Mohd Azmi.
Soalnya, apakah keperluan rumah urut dibiarkan bercambah sedangkan pihak berkuasa gagal melaksanakan penguatkuasaan. Selain pusat urut haram, rumah urut berlesen sedia ada turut cenderung menawar khidmat seksual yang menyalahi undang-undang.
Pihak berkuasa, kata Mohd Azmi, tidak harus hanya memikirkan soal permintaan sedangkan pemantauan dan penguatkuasaan mana-mana pihak yang menyalah guna lesen ternyata gagal dilaksanakan dengan berkesan.
Mapim juga melahirkan rasa khuatir dengan percambahan pusat-pusat urut di kota raya dan bandar-bandar utama di negara ini kerana ia akan membuka peluang untuk kegiatan maksiat dilakukan oleh pihak yang mengambil kesempatan.
Selain mendesak DBKL tidak menambah lesen rumah urut serta melahirkan kekesalan berikutan kegagalan menangani pusat pelacuran haram, Mapim menyindir agar lesen rumah urut yang sedia ada dipantau dan dikawal sebelum memikirkan untuk membuka permohonan lesen baharu yang akhirnya tidak mampu dikawal selia olehpihak berkuasa.
-MYNEWSHUB.CC