kesah dah tauladan buat semua rakyat malaysia..
Saya tertarik membaca tulisan/siasatan blogger Kickdefella mengenai isu pelacuran di sini dan di sini.
Bagaimanapun, ia memerlukan perancangan teliti dan juga penyamaran bagi mendapatkan gambaran sebenar dan sejelasnya.
Di Kuala Lumpur, pelacuran ada banyak ‘taraf’ – bermula dari taraf paling daif hinggalah ke tahap VVIP.
Berbagai usaha dilakukan pihak berkuasa terutama pihak polis (D7 – Judi , Maksiat dan Kongsi Gelap)- namun ia bagai tak berkesudahan.
Suatu ketika dahulu, saya selalu mengikuti pelbagai operasi dijalankan polis – sehingga saya kini sudah lagi tidak ‘bergiat’ dalam liputan operasi serbuan.
Saya kemudian beralih ke bidang ‘jalanraya’ dan bahan seperti yang anda baca dalam blog ondscene ini.
Wartawan penyiaran aka penerbit TV3, Mazidul merupakan yang tetap memperjuangkan isu-isu sebegini dan tidak pernah kenal penat dan gentar.
Bagaimanapun, adakah kuasa polis yang menangkap ribuan pelacur, ibu dan bapa ayam itu – mampu melumpuh atau setidak-tidaknya mengurangkan aktiviti tertua di dunia itu?
Dalam bahasa pasarnya – Takkan Hari-hari Nak Serbu.
Malam ini serbu, esok akan ada lagi kumpulan lain, di lokasi sama beroperasi.
Di manakah silapnya?
Saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak tetapi sebagai rakyat, saya harus tahu apa yang dilakukan oleh pihak yang berwajib – adakah memadai atau sekadar melepaskan batuk di tangga?
Seawal jam 9 pagi tadi, saya bersama seorang rakan wartawan, mengambil keputusan untuk membuat tinjauan mengenai isu ini.
Ye, lokasi ini bersebelahan dengan Petaling Street.
Puluhan warga asing yang hampir kesemuanya adalah warga Bangladesh – yang saya yakin, hampir semuanya juga adalah berugama Islam.
Mereka sebenarnya menunggu giliran untuk melanggan pelacur ‘kelas bawahan’ – dan dengan bangganya bersalaman sesama sendiri apabila terserempak rakan mereka baru ‘selesai’ melanggan pelacur.
Kini giliran mereka pula untuk masuk, dan akan keluar semula setelah selesai seawal 10 minit dan mungkin ada sehingga 30 minit.
Begitu mudah mereka masuk ke dalam pintu besi yang dikawal oleh bapak-bapak ayam tanpa banyak soal. Bapak ayam bersepah merata-rata tempat di lokasi ini.
Sempat menyapa beberapa lelaki warga Bangladesh terbabit yang mengaku sebagai Islam, dan apabila ditanya mengenai adakah mereka tahu, hari ini adalah Maulidul Rasul, mereka sekadar tersenyum.
Pergerakan saya dengan rakan mula dicurigai oleh kira-kira 20 bapak ayam yang menunggu di depan pintu besi ketika melalui di hadapan mereka.
Saya dan rakan memakai t-shirt dengan lagak seperti pekerja kontrak, tetapi agaknya kerana kasut yang agak tidak nampak seperti pekerja kontrak – cubaan saya untuk masuk , dihalang.
“Sori encik, lu orang Malaysia, tarak boleh masuk. Operasi banyak kuat. Bangla saja boleh masuk”
Benar, warga Bangladesh dan beberapa warga asing lain dari negara jiran dengan mudah dapat masuk tanpa banyak soal.
Ketika itu juga, beberapa lelaki Melayu bermotosikal turut berhenti dan ‘hampa’ kerana mereka juga tidak dibenarkan masuk.
Kehadiran saya dan rakan nampak tidak disenangi , menyebabkan saya mengambil keputusan untuk beredar ke lokasi lain.
Jam 12 tengahari, saya ke Jalan Thambypillai, Brickfields- yang kini sudah dikenali sebagai kawasan Little India.
Setelah meletakkan kereta kira-kira 500 meter jauhnya, saya berjalan kaki ke deretan bangunan ini – puluhan bapak ayam menunggu di luar pintu yang terbuka luas.
Kali ini saya menyamar dengan keadaan lebih selekeh dan memakai kasut sukan buruk sambil membawa suratkhabar lama – supaya kononnya saya dan rakan lebih mudah masuk.
Anggapan saya salah – kerana bapak dan mak ayam di sini amat peramah dan langsung tidak melihat sesuatu yang ganjil terhadap kami.
Pintu pertama saya masuk, terletak di tingkat atas, disambut seorang bapak ayam.
“Bang, mari-mari, 30 ringgit saja. China ada, Melayu ada. Tak payah kondom pun ada. Kasi baik punya servis.”
Saya mengintai bilik-bilik yang ada – ada yang sedang mengemas tilam, ada yang berdiri depan pintu , ada yang cuba menarik ke dalam bilik.
Saya terpaksa berpura-pura pening untuk memilih , walhal sebenarnya saya hampir termuntah dengan bau hanyir di dalamnya.
“Takpa, mau tengok-tengok dulu“, kata saya pada seorang apek , usia kira-kira 60 tahun.
Kira-kira 5 wanita sedang duduk di kerusi dan saya terkejut melihat seorang wanita Melayu, usia kira-kira 25 tahun – tanpa mekap dan boleh memegunkan sesiapa jua yang tengok. Pakaiannya agak sopan.
“Bang, 30 ringgit je.”
“Takpa, nak tengok-tengok dulu”
Saya masuk hingga ke belakang, ada kira-kira 20 bilik di kiri kanan yang setiap satu ada tilam tanpa cadar, kolah air dan lantai yang kotor.
Bau tak payah cerita.
Ada yang dah pangkat ahsoo, ada ahmoi dan beberapa lagi dari negara jiran dan seorang wanita Melayu itu – dengan pelbagai bentuk rupa dan bentuk badan.
Ketika itu, pelanggan silih berganti keluar masuk beberapa bilik – kebanyakannya adalah lelaki Melayu yang saya anggarkan ada yang berusia lebih 60 tahun.
Keadaan amat sibuk sekali seolah-olah di dalam kawasan Bursa Saham.
Bapak ayam, mak ayam, anak ayam – semuanya peramah dan tidak mengesyaki apa-apa.
10 minit kemudian, saya keluar setelah kononnya hanya sekadar melihat-lihat dahulu sebelum pilih, dan pergi ke pintu sebelah pula.
Juga di sini, suasana lebih sibuk – dan saya hanya mengambil masa kira-kira 3 minit berada di dalamnya sebelum keluar kerana baunya yang amat hanyir.
Saya meninggalkan tempat itu dengan beribu persoalan.
Kawasan-kawasan tersebut bukan sekali, bukan 2 kali, bukan 5 kali, bukan 10 kali, malah dianggarkan sudah puluhan kali diserbu dan pelacur-pelacur serta mak, bapak ayam ditahan.
Tapi, mengapa ia masih beroperasi?
Bagi saya, polis sudah melakukan tugas mereka, malah mereka mungkin sudah berapa kali termuntah hanya semata-mata untuk membanteras kegiatan itu.
Persoalan pokok sebenarnya ialah premis itu sendiri – tanpa premis, tidak mungkin mereka beroperasi di bawah pokok atau di sebalik tiang lampu.
Apakah kuasa yang ada pada pihak berkuasa tempatan – DBKL?
Perkara paling asas -Bekalan api, air – tidak dipotong malah ianya akan timbul semula hanya beberapa jam selepas polis mengangkut pelacur-pelacur itu.
Tinjauan di kala Maulidul Rasul – benar-benar membuktikan, pihak berkuasa tempatan hanya tutup sebelah mata, sedangkan mereka patut tahu, ketika itulah pihak-pihak begini akan lebih giat menjalankan aktiviti ini.
Manakah unit-unit risikan mereka , apa guna kerajaan membuang wang rakyat jutaan ringgit menggaji dan memberikan pelbagai kursus dan kemudahan – tetapi hasilnya menghampakan.
Saya tidak mahu mengaitkan dengan unsur rasuah kerana ia harus dibuktikan – namun, ia tidak perlu peralatan canggih untuk menghapuskan kedua-dua tempat ini kerana ia boleh dilihat oleh sesiapapun tanpa perlu menyamar.
Di Petaling Street – warga Bangladesh, berugama Islam, dibiarkan melakukan maksiat , di Brickfields, Melayu juga berugama Islam – juga dibiarkan melakukannya.
Bukankah lebih baik, dari menunjuk-nunjuk dalam perhimpunan Maulidul Rasul itu, pihak yang sepatutnya menjalankan tugas – lakukannya – kerana perkara sebeginilah sebenarnya yang memecahbelahkan umat Islam – taktiknya, dengan melemahkan iman umat Islam itu sendiri.
Jika saya sebagai wartawan yang tiada imuniti jika apa-apa berlaku ketika penyamaran dilakukan, apatah lagi pihak berkuasa yang ada imuniti – tetapi mereka tidak lakukannya.
Rakyat sudah jelak dengan pelbagai alasan diberikan – kerana perkara semudah itu tidak dapat diselesaikan, maka jangan bermimpi untuk bercakap mengenai perkara lain.
Memang bercakap itu mudah, tetapi, saya khuatir, tiada tindakan tegas dilakukan, berkemungkinan ada pihak-pihak tertetnu yang berkepentingan dan menutup sebelah mata demi periuk nasi mereka sendiri.
Saya tidak akan bercakap mengenai pelacur-pelacur kelas atasan yang agak sukar dikesan/dibuktikan , tetapi yang di depan matapun tak terbuat, maka apa lagi yang boleh kita katakan?
Umat yang bersatu sekalipun, tetapi jika di’jajah’ oleh pihak lain, pasti akan menghancurkan jua.
Artikel ini mungkin tidak menyenangkan beberapa pihak , tetapi sampai bilakah ianya akan berakhir kerana kita sudah tidak sanggup lagi untuk menyerbu hari-hari, dan akan berulang semula ,dan lagi, dan lagi, dan lagi…
sumber;http://ondscene.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan