PING BUSUK

Ahad, 24 Februari 2013

HUKUM MEMELIHARA HAIWAN PELIHARAAN..


kucing
Memerhatikan trend terkini, masyarakat kita sedang mengembangkan perhatian kepada haiwan peliharaan. Jika sebelumnya, orang islam hanya memelihara kucing dan ikan, pada masa ini kita melihat anak-anak muda yang suka memelihara haiwan-haiwan eksotik seperti sugar glider, hamster, iguana dan ginea pig. Bahkan ada juga yang cuba-cuba memelihara haiwan berbahaya seperti ular dan labah-labah.
Sebagai muslim, kita mesti merujuk kepada islam dalam setiap perilaku kita. Maka dalam soal pemeliharaan haiwan juga tidak terkecuali. Cinta kepada haiwan mesti terikat dengan hukum islam. Ia tidak boleh dikaitkan dengan perasaan hati yang sangat subjektif. Sikap sebegini boleh boleh membuka ruang untuk menentang hukum-hukum Allah sama ada secara sengaja atau tidak.

Hukum Pelihara Haiwan

Saya sangat suka kepada haiwan. Bolehkah ustaz sebutkan prinsip-prinsip umum dalam memelihara haiwan yang boleh dijadikan peliharaan dan ayng tidak boleh?
Jawapan: Asal hukum memelihara haiwan terdapat dalam hadis Rasulullah s.a.w tentang kucing. Sabda Baginda yang bermaksud:
“Sesungguhnya ia bukan najis. Ia hanyalah termasuk daripada haiwan-haiwan yang suka berkeliaran bersamamu” (Riwayat Abu Dawud)
Daripada hadis ini kita boleh merumuskan bahawa sifat utama haiwan belaan mestilah suci dan tidak membahayakan. Selain itu juga mestilah bermanfaat secara syarak. Rasulullah sendiri sangat mencitai kuda sebab ia hawian yang boleh digunakan untuk berjihad. Begitu juga unta dan keldai, sebab kedua-duanya boleh menjadi kenderaan.
Adapun haiwan yang najis dan berbahaya, begitu juga haiwan-haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh, maka ia tidak boleh dibela walau secomel manapun rupanya. Sebab membela haiwan-haiwan ini dikira melanggar perintah islam.

Hukum Haiwan Dalam Islam

Haiwan yang Suci, semua haiwan yang dihukumkan suci semasa hidupnya kecuali haiwan-haiwan tertentu yang telah ditetapkan najis.
Haiwan Yang najis seperti Babi, Anjing atau haiwan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satu daripadanya.
Haiwan yang diperintahkan untuk dibunuh seperti ular, gagak, tikus, anjing gila, burung hering dan cicak.

Perasaan Haiwan

Dalam islam, adakah haiwan memiliki perasaan?
Jawapan : Ya. Islam mengiktiraf perasaan yang dimiliki haiwan. Jiwa mereka memang lebih rendah daripada manusia, namun mereka mempunyai perasaan. Mereka merasakan sakit, lapar, takut, suka dan lain-lain.
Oleh sebab itu, islam mewajibkan berlaku ihsan kepada haiwan dan tidak memperlakukannya dengan kejam.
“Ya’la bin Murrah menceritakan kisah seekor unta yang datang kepada Nabi dengan berlinangan air mata. Rasulullah bertanya: “Dimana pemilik unta ini? ia mengadu kepadaku banyaknya kerja dan sedikitnya makanan yang diberikan kepadanya. Berbuat baiklah kepadanya”. (Riwayat Ahmad)
Perhatikan pula arahan para ulama berkenaan dengan berbuat ihsan kepada haiwan :
  • Jangan menyembelih haiwan di hadapan haiwan yang lain
  • Jangan mengasah pisau di hadapan haiwan yang akan disembelih
  • Jika seekor kucing atau anjing sedang memakan sesuatu, maka tidak boleh merebut makanan itu daripadanya melainkan makanan itu milik seseorang
Semua ini dapat kita temukan dalam kitab-kitab fuqaha.

Belanja Untuk Haiwan Peliharaan

Saya berhasrat untuk membela seekor kucing parsi. Namun menurut teman saya, kos penjagaan bulanannya sekitar RM200. Itu pun tidak cukup sebenarnya. Sekali fikir macam tidak patut pula. Apa nasihat ustaz?
Jawapan: Berbuat ihsan kepada haiwan peliharaan satu tindakan terpuji. Hukum ini berubah menjadi wajib apabila haiwan tersebut dikurung sehingga tidak dapat mencari maknan sendiri. Pada saat itu, pemiliknya mesti menyediakan semua keperluannya seperti makanan, minuman dan lain-lain.
Berkata Ibn al-Haitami dalam Fatawa: “Disunatkan untuk bermurah hati kepadanya (kucing) Dan wajib atas pemiliknya memberi makan kepadanya jika ia tidak dapat mencari sendiri makanannya.”
Namun begitu, hendaklah perbelanjaan untuk haiwan ini dalam had yang berpada. Jangan terlalu berlebih dengan mencari makanan yang mahal, membuatkan sangkar yang mewah dan sebagainya. Perbuatan berlebihan seperti ini dikhuatiri termasuk dalam pembaziran yang terlarang. Apalagi jika dalam masa yang sama ada anggota keluarga atau jiran tetangga yang lebih memerlukan bantuan kita.
Berbuat ihsan dan bersedekah kepada haiwan memang terpuji. Namun berbuat ihsan dan bersedekah kepada manusia yang lebih memerlukan adalah lebih terpuji.
Wallahu a’lam
Sumber : Majalah Al-Ustaz Isu 11 penulisan oleh Ustaz Umar Muhammad Noor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan