PING BUSUK

Selasa, 3 Disember 2013

HIMPIT,LANGGAR,ROMPAK...LEPAS TU ROGOL...

  • Waspada bila kereta dihimpitManoharan (dua dari kiri) menunjukkan wajah tiga suspek yang masih diburu.
KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu kini sedang memburu lima lelaki yang merupakan ahli kepada satu kumpulan penjenayah yang aktif melakukan jenayah samun, melarikan dan merogol mangsanya di sekitar Dungun serta Kemaman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, polis menubuhkan satu pasukan khas memburu suspek selepas menerima tiga laporan insiden itu iaitu dua di Dungun dan satu di Kemaman, awal pagi kelmarin.

Menurutnya, kejadian pertama dilaporkan berlaku pada jam 3 pagi, Ahad lalu di Bukit Chatak, Dungun membabitkan tiga lelaki dan dua wanita yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas keluar makan.

“Kereta yang dipandu pengadu berusia 20 tahun kemudian dihimpit dua kereta jenis Honda dan mereka diarahkan berhenti. Kemudian keluar salah seorang lelaki dari kereta memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta pengadu mengikut mereka.

“Suspek akhirnya memandu kereta pengadu sebelum bertindak merampas lima telefon bimbit milik pengadu dan rakan-rakannya,” katanya kepada media ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini semalam.
Manoharan berkata, ketika tiba di Jalan Durian Mentangau pada jam 4.15 pagi, suspek yang memandu Proton Satria milik pengadu bertindak melanggar sebuah kereta Perodua Kancil dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun bersama abang dan kakak
iparnya.

Menyedari keretanya dilanggar, lelaki itu memberhentikan kenderaannya dan suspek mengambil peluang memaksa kakak iparnya mengikut mereka serta merampas telefon bimbit wanita tersebut.

Bagaimanapun, wanita yang baru berkahwin itu bernasib baik kerana suspek meninggalkannya di tepi jalan selepas satu kilometer dari lokasi kejadian dan melakukan perkara sama terhadap tiga lelaki yang ditahan di Bukit Chatak.

“Suspek kemudian membawa dua wanita berusia 20 tahun itu ke sebuah rumah tumpangan di Jalan Kenanga lalu merogol mereka di situ. Dua lagi rakan suspek turut merogol mangsa dan selepas itu, pada jam 10 pagi suspek membawa mangsa ke
Durian Mentangau bagi urusan menukar nombor plat kenderaan.

“Ketika itulah mangsa mengambil kesempatan melarikan diri meminta bantuan daripada seorang penduduk di situ dan segera datang membuat laporan polis,” katanya.

Selain laporan dua wanita itu, Manoharan memberitahu, sepasang suami isteri turut membuat laporan bahawa keretanya dihimpit oleh kereta Honda kira-kira jam 1.55 pagi semalam ketika berada di lampu isyarat Bukit Teruna, Kijal, Kemaman.

Bagaimanapun, pasangan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu itu tidak berhenti dan berjaya melepaskan diri daripada suspek yang dipercayai dari kumpulan sama.

Berikutan laporan itu, polis kemudian berjaya menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang merupakan ketua kumpulan tersebut bersama rakan seorang warga Indonesia di rumah bapa saudaranya di Gong Pasir, Dungun, jam 11.30 pagi semalam.

Turut dirampas adalah sebuah Honda Civic nombor pendaftaran WWW1861 yang digunakan untuk melakukan jenayah tersebut.

Menurut Manoharan, dengan tangkapan itu pihaknya sedang memburu lima lagi suspek yang mana empat daripadanya sudah dikenal pasti.

“Kumpulan ini mula mahu bertapak di sini dan kita anggap ia sebagai serius kerana melibatkan kes samun, melarikan orang dan rogol. Oleh itu kita minta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai suspek dicari segera menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan, Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 367 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan